ANTARA sisa bahan tercemar yang dipercayai dibakar secara terbuka di kilang di Kampung Baru Tanah Merah Site C, Chuah, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


PEMBAKARAN terbuka dilakukan kilang memproses minyak terbuang menimbulkan kemarahan penduduk Kampung Baru Tanah Merah Site C, Chuah di Port Dickson, semalam.

Beberapa penduduk cuba menegur perbuatan pekerja di kilang berkenaan, namun menimbulkan ketegangan menyebabkan mereka terpaksa mengadu kepada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Michael Yek Diew Ching untuk tindakan lanjut.

Pegawai Khas ADUN Chuah, Goh Yoke Shien berkata, pihaknya menerima aduan mengenai pembakaran terbuka sebelum ke lokasi melakukan tinjauan.

“Saya difahamkan pembakaran terbuka itu kerap dilakukan pada waktu malam tetapi semalam mereka melakukannya waktu siang menyebabkan penduduk hilang sabar.

“Saya meminta bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut serta keselamatan,” katanya ketika ditemui semalam.

Yoke Shien berkata, terdapat kira-kira 1,500 penduduk di dua kawasan penempatan iaitu Kampung Baru Tanah Merah Site C dan taman perumahan berhampiran kawasan kilang berkenaan.

Beliau berkata, penduduk khuatir pembakaran terbuka sisa buangan itu akan menjejaskan kualiti udara dan kesihatan mereka sekiranya dibiarkan berterusan.

“Kami harap JAS akan menyiasat perkara ini agar tidak berulang kerana boleh membahayakan kesihatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Norhazni Mat Sari berkata, pihaknya menerima aduan dan siasatan sedang dijalankan sebelum tindakan susulan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 2:15 PM