MASTURA (belakang, tengah) diiringi Affendi (belakang, enam dari kanan), Abdul Ghaffar (belakang, empat dari kiri) dan Yasman (belakang, lima dari kiri) bersama bersama penerima sumbangan pembiayaan akaun SSPN-i. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


SEGELINTIR peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikesan enggan membayar pinjaman kerana beranggapan ia tanggungjawab kerajaan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, itu trend terkini yang dikesan perbadanan berkenaan, dan senario itu perlu ‘dipadamkan’ walaupun ia hanya membabitkan segelintir peminjam.

Sehubungan itu katanya, langkah terbaik bagi memberi kesedaran kepada peminjam adalah menanamkan nilai murni dalam kalangan peminjam.

“Kita sebenarnya amat beruntung menjadi rakyat Malaysia dan hidup dalam masyarakat berbilang kaum dengan penuh harmoni dan mempunyai nilai murni yang tinggi.

“Amalan dan budaya membayar hutang adalah nilai murni yang wajib diterapkan dari awal bagi melahirkan rakyat Malaysia bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran ‘Program Jelajah Solo Gen Y: Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Damansara Aliff, Johor Bahru, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi), PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Perlis (YKP), Affendi Rajini Khan; Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Yasman Jamsir; Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop dan Pengetua SMK Taman Damansara Aliff, Adib Adham Daud.


MASTURA (kiri) melakukan gimik pelepasan Affendi yang melakukan jelajah solo. FOTO Hairul Anuar Rahim

Program bertujuan meningkatkan tahap kesedaran Gen Y terhadap era globalisasi dan memupuk semangat kenegaraan menerusi penerapan nilai murni cintakan negara.

Selain itu, ia bertujuan mendekati rakyat terutama membabitkan pelajar dalam usaha agensi pembiayaan pinjaman pendidikan itu membudayakan penabungan bagi tujuan pendidikan.

Program kerjasama antara YPTPTN dan YPK itu membabitkan penjelajahan 13 kawasan Parlimen dan 36 sekolah di seluruh negara bermula di SMK Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 4 April lalu dan berakhir pada 30 April ini.

Wan Saiful berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sering memperkatakan nilai murni seperti integriti dalam ucapannya.

“Dalam program ini beberapa elemen diberikan penekanan iaitu semangat cintakan negara, nilai murni dan buli.

“Hal ini diberikan perhatian lebih kerana elemen ini kian pudar dalam kalangan generasi muda akibat teknologi yang berkembang pesat,” katanya.

Katanya, PTPTN sebagai sebuah agensi pembiaya utama negara ditubuhkan berasaskan iltizam kerajaan menjayakan hasrat bagi memberi peluang rakyat Malaysia mendapat akses pengajian tinggi.

“Buktinya setiap tahun, 200,000 pelajar berpeluang menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui pinjaman PTPTN,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod seramai 3.02 juta pelajar mendapat manfaat daripada dana PTPTN berjumlah RM56 bilion sehingga 28 Februari lalu.

“Pinjaman pendidikan memberi manfaat kepada 377,377 pelajar di Johor dengan mencatatkan pengeluaran berjumlah RM6.4 bilion,” katanya.

Tahun lalu katanya, PTPTN berjaya mencapai kutipan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berjumlah RM1.13 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 3:06 PM