GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan, G Gnanaraja berhubung siasatan pengubahan wang haram.

Menerusi kenyataan SPRM, penahanan itu dibuat jam 11.40 pagi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini, selepas mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

“Susulan itu, Gnanaraja akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Gnanaraja akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 8.30 esok untuk pertuduhan berkenaan,” katanya, hari ini.

Pada 3 April lalu, ahli perniagaan terbabit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu seorang individu membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan siasatan projek meja terowong dasar laut di Pulau Pinang, dua tahun lalu.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan pengarah urusan sebuah syarikat membabitkan wang keseluruhan berjumlah RM19 juta bagi menutup siasatan yang dilakukan SPRM ke atas individu itu mengikut AMLATFPUAA 2001.

Selain itu, media melaporkan Istana Pahang menarik balik kurniaan darjah kebesaran Sultan Ahmad Shah Yang Amat Di Mulia Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ daripada ahli perniagaan terbabit berkuat kuasa 13 Mac lalu.

Menurut surat bertarikh 13 Mac itu, Gnanaraja yang dianugerahi pingat berkenaan pada 19 Mac 2014 di Istana Pahang, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur tidak dibenar menggunakan gelaran itu berkuat kuasa dari tarikh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 3:18 PM