KHIU (kiri) menunjukkan anak orang utan yang dirampas. FOTO Adi Safri
KHIU (kiri) menunjukkan anak orang utan yang dirampas. FOTO Adi Safri
Badrul Kamal Zakaria


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua mematahkan cubaan menyeludup masuk sembilan haiwan dilindungi dianggarkan bernilai kira-kira RM403,000 dalam serbuan di Jeti Nelayan Parit Unas, Muar, malam tadi.

Dalam serbuan 8.05 malam itu, PPM Wilayah Dua turut merampas dua orang utan, seekor musang albino dan enam ungka, selain menahan lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Indonesia berusia 23 hingga 40 tahun.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, bertindak atas maklumat dan aduan awam sepasukan pegawai dan anggota PPM Wilayah Dua Muar membuat intipan di kawasan jeti nelayan berkenaan.

“Selepas hampir satu jam menunggu, didapati kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna biru masuk menghampiri jeti nelayan Parit Unas. Sebuah bot kelihatan berada di jeti yang sama dan beberapa lelaki dilihat melakukan aktiviti mengangkat beberapa kotak masuk ke dalam MPV berkenaan.

“Pasukan PPM kemudian menyerbu kenderaan itu namun pemandunya, lelaki tempatan berusia 28 tahun memecut kenderaan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa. Bagaimanapun, kami berjaya menahan kenderaan itu selepas mengejarnya sejauh kira-kira satu kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pangkalan PPM Wilayah Dua Muar, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Dua Muar, Deputi Superintendan Nordin Osman dan Ketua Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Daerah Muar, Mohd Nafizan Mohd Radzi.

Khon Chiang berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan itu kemudiannya menemui empat kotak besar berwarna coklat yang diletak di tempat duduk belakang MPV berkenaan.

“Hasilnya, kami menemui dua ekor orang utan, seekor musang albino dan enam ekor ungka. Pada masa sama, bot ronda berjaya menahan bot yang melakukan pemindahan haiwan dilindungi dan menahan tiga lelaki warga Indonesia.

“Kita juga merampas dua ekor orang utan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM368,000, seekor musang albino bernilai RM5,000 dan enam ekor ungka berharga RM30,000. Turut dirampas, kenderaan MPV dan bot berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan haiwan dari spesies yang dilindungi itu dibawa masuk ke negara ini bagi tujuan latihan untuk pameran dan sebagai haiwan peliharaan.

“Semua suspek ditahan reman selama 28 hari bagi membantu siasatan dan semua haiwan diserahkan kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 69 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),jika sabit kesalahan boleh didenda RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes turut disiasat mengikut Sekyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Sekyen 6(1)(c) serta Seksyen 5(2) Akta Imigresen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 5:33 PM