ANTARA pemandangan di Antartika. FOTO Ihsan Prof Madya Dr Justin Sentian
ANTARA pemandangan di Antartika. FOTO Ihsan Prof Madya Dr Justin Sentian
Hanneeyzah Bariah Baharin


DUA pelajar dan seorang guru dari Terengganu akan dihantar ke Antartika untuk menyertai penerokaan dan penyelidikan menerusi program ‘Student on Ice’.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) Mohd Nasaruddin Abd Rahman berkata, program julung kali diadakan itu antara lain akan melakukan penerokaan dan penyelidikan berkaitan perubahan iklim yang berlaku di sana.

“Pemilihan pelajar yang layak untuk menyertai program ini dibuat akhir tahun ini sebelum mereka dihantar ke sana selama dua minggu antara Disember hingga Mac kerana musim panas di sana,” katanya selepas perasmian Minggu Sains Negara Peringkat Negeri di Pusat Sains Kuala Terengganu, hari ini.

Perasmian dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Noor Afifah Abdul Razak.

Mohd Nasaruddin berkata, pelajar yang layak akan dipilih menerusi Kem Pola Sains akhir tahun ini dan perlu melalui beberapa ujian termasuk ketahanan fizikal dan mental, ujian sains serta kemampuan komunikasi dan penulisan.

Katanya, YPASM memperuntukkan sejumlah RM50,000 seorang yang dihantar ke program berkenaan dan ia mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan negeri Terengganu.

Beliau berkata, sebelum ini, yayasan itu sudah menghantar empat kumpulan membabitkan lapan pelajar dan empat guru ke program penerokaan dan penyelidikan Artik.

“Setiap tahun sejak 2015 kita menghantar dua pelajar dan seorang guru untuk mengikuti program penerokaan dan penyelidikan di Artik.

“Mereka akan menyertai 100 pelajar dan guru dari seluruh dunia pada setiap kali program berkenaan.

“Bagaimanapun, tahun ini buat kali pertama kita akan menghantar dua pelajar dan seorang guru ke Antartika,” katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, selain berjaya meningkatkan minat dan pengetahuan pelajar terhadap program sains dan penyelidikan, ia juga meningkatkan kebolehan serta kemahiran interaksi ketika bergaul dengan pelajar lain dari seluruh dunia dalam program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 7:46 PM