Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


KERJA-KERJA mengalihkan bas pekerja yang terbabit kemalangan di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MASKargo, Sepang, malam tadi, mengambil masa kira-kira dua jam.

Proses bermula jam 11 pagi dan berakhir jam 12.30 tengah hari itu dikendalikan oleh sebuah trak penunda sambil dipantau oleh beberapa kakitangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ia dilakukan oleh sebuah trak penunda seberat 27 tan manakala, beban badan bas yang dialihkan pula seberat 8.6 tan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, punca kemalangan itu masih dalam siasatan.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) MIROS adalah menghantar kumpulan yang bertanggungjawab untuk siasatan secara mendalam mengenai kemalangan yang berlaku, siasatan berkenaan sudut kejuruteraan jalan selain kumpulan audit di syarikat yang mengendalikan bas terbabit.

“Bas berkenaan terjunam ke dalam longkang sedalam 18 meter dari aras jalan raya menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan kenderaan," katanya.

Difahamkan, Jalan S8 Pekeliling bukan laluan biasa bas berkenaan untuk menghantar pekerja di Pos Tiga Terminal Kargo KLIA di Sepang.

Jurucakap polis berkata, bangkai bas di bawa ke IPD KLIA untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, 11 mangsa maut termasuk pemandu bas apabila bas pekerja dinaiki mereka terjunam ke dalam longkang.

Kejadian itu meragut nyawa 10 penumpang warga asing dan seorang pemandu bas tempatan.

Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, siasatan awal mendapati bas terbabit yang membawa 43 penumpang warga asing yang juga pekerja kontrak MASKargo dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan.

"Difahamkan semua pekerja terbabit sepatutnya masuk bekerja pada syif 12 tengah malam.

"Seramai 33 penumpang yang cedera dikejarkan ke Hospital Serdang, Hospital Putrajaya, Hospital Banting dan Hospital Kajang untuk rawatan lanjut," katanya.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] Mangsa kakitangan Mutiara Kayamas
  • [UPDATE] Mangsa kakitangan Mutiara Kayamas
  • 10 maut nahas bas pekerja
  • [UPDATE] Seorang lagi penumpang maut [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 1:12 PM