MUJAHID menunjukkan buku Undang-Undang Malaysia Akta Tabung Haji 1995. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Wan Faizal Ismayatim


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini menafikan tohmahan pembangkang kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi punca permasalahan dalam Lembaga Tabung Haji (TH).

Sebaliknya, beliau berkata, kadar hibah 1.25 peratus bagi 2018 untuk dibayar kepada 9.3 juta pendeposit, bertujuan memastikan wang pendeposit selamat, selain membawa TH lebih maju agar pendapatan dijana dengan lebih mampan.

Beliau menegaskan, permasalahan TH sudah lama berakar umbi sehingga Bank Negara Malaysia (BNM) pernah memberi amaran kepada TH berhubung prestasi kewangannya.

“Bekas Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pernah menulis surat kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) bertarikh 23 Disember 2015 yang memberi amaran bahawa TH mengalami masalah kekurangan aset.

“Surat itu juga memberi amaran keras TH tidak boleh mengisytiharkan hibahnya memandangkan nilai aset kurang daripada nilai tanggungan.

“Bagaimanapun, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu tidak mempedulikannya dan terus membenarkan TH membayar hibah tinggi walaupun keuntungan tidak mencukupi dan bakal berdepan risiko kestabilan kewangan,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Rakan Masjid Hospital (RAMAH) di Hospital Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, pembangkang (kini kerajaan) pada 2016 beberapa kali membangkitkan isu kerugian TH, namun dinafikan pengurusan lama termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kononnya institusi itu dalam keadaan baik.

“Kerugian itu menyebabkan aset TH tidak mencukupi untuk menampung liabiliti. Kerugian dialami ialah RM10.2 bilion kerana nilai pelaburan aset hartanah dan syarikat yang dibeli TH dengan kos RM19.9 juta bilion hanya bernilai RM9.7 bilion sahaja setakat 31 Disember 2018.

“Penyelewengan demi penyelewengan dilakukan antaranya memanipulasi kedudukan akaun sebenar TH dan membayar hibah sebelum ini dengan kadar tinggi,” katanya.

Beliau berkata, akaun TH dimanipulasi dengan kelulusan menteri pada 2017 apabila membenarkan supaya TH memanipulasi tahap ambang threshold atau polisi susut nilai sebanyak tiga kali.

Katanya, mengikut standard laporan kewangan, sesebuah syarikat harus mengisytihar kerugian jika nilai saham yang dibeli jatuh 20 peratus, namun TH menetapkan polisi susut nilai kepada 70 peratus dan kemudian diubah kepada 85 peratus serta 90 peratus.

“Perubahan polisi rosot nilai ini diguna pakai untuk membolehkan TH mengagihkan hibah tinggi, terutama pada kadar 4.50 peratus, tidak termasuk hibah haji sebanyak 1.75 peratus,” katanya.

Mujahid berkata, dengan keuntungan yang tidak wujud itu, TH kemudian memberi hibah pada kadar 6.25 peratus pada Februari 2018 membabitkan pembayaran sebanyak RM2.7 bilion, iaitu hasil daripada manipulasi dan pemalsuan akaun yang bertentangan Akta Tabung Haji.

Beliau berkata, pengurusan lama TH juga menyembunyikan maklumat penting membabitkan pelupusan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantation.

“Aset ini sudah dipindahkan sebelum tamat pembayaran dan pembeli kemudian mengambil alih operasi pada 2012, namun sehingga kini belum habis dibayar,” katanya sambil menambah Pengerusi TH sebelum ini menerima elaun bernilai jutaan ringgit setahun kerana menjadi pengerusi di beberapa anak syarikat TH.

Katanya, bagi memulihkan TH, kerajaan akan memberi suntikan dana berjumlah RM17.8 bilion dan peruntukan RM500 juta pada 2020, seterusnya RM1.73 bilion setahun mulai 2021 sehingga semua sukuk ditebus semula.

“Menerusi segala pelan pemulihan TH dibuat pengurusan baharu bersama sokongan penuh kerajaan, ia kini menunjukkan kesan positif. “Jurang defisit berjaya ditutup, dengan itu TH mampu memberi hibah RM913 juta iaitu 1.25 peratus.

“Setakat 31 Disember lalu, TH merekodkan aset keseluruhan RM76.5 bilion, sekali gus mencatat lebihan aset RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan kedudukan kewangannya kembali pulih berbanding defisit aset RM4.1 bilion berdasarkan laporan kewangan diaudit pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 4:45 PM