Mazlan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas polis. Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


AIR ‘kick’ menjadi kata kunci bagi pelanggan pusat hiburan sekitar ibu negara untuk memesan minuman berperisa dadah ketika berhibur.

Bagaimanapun kegiatan sindiket pengedaran dadah membabitkan dua lelaki tempatan itu tumpas apabila mereka ditahan dalam Operasi Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek terbabit kegiatan pengedaran dadah sejak lima bulan lalu dan bersekongkol dengan pelayan kelab malam dalam mengedar dadah berperisa kepada pelanggan.

Katanya, pelanggan yang mahukan minuman istimewa itu hanya perlu memesan air ‘kick’ kepada pelayan sebelum mereka dihidangkan dengan jug air bercampur dadah dan menggunakan perisa teh hijau, teh ais lemon dan mangga.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki yang bertindak sebagai ‘runner’ atau budak penghantar di Sun Kompleks di Bukit Bintang 12.15 tengah malam selepas pemeriksaan menemui paket ekstasi 257 gram.

“Jumlah dadah berkenaan dianggarkan bagi kegunaan 50 orang dan bernilai RM25,700,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Mazlan berkata, susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah apartmen di Cassaria, Taman Maluri, Cheras 12.56 tengah hari sama.

Katanya, dalam serbuan itu polis menemui serbuk dadah jenis ekstasi 4.1 kilogram, methamphetamine (148 gram) dan ketamin (134 gram).

“Dadah yang ditemui di apartmen berkenaan dianggarkan RM454,700 dan dalam serbuan itu kita turut menahan lelaki tempatan berusia 47 tahun,” katanya.

Menurut Mazlan, siasatan mendapati suspek pertama memiliki dua kesalahan lampau berkaitan dadah manakala suspek kedua mempunyai dua kesalahan lampau membabitkan dadah serta satu kesalahan jenayah.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari sehingga Khamis ini.

“Kedua-duanya direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 5:12 PM