LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.


POLIS masih menjalankan siasatan sama ada masih terdapat pegawai dan anggota yang terbabit dalam sindiket pengedaran dadah susulan rampasan syabu terbesar di Ulu Tiram, Johor, bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, inspektor polis berusia 30-an yang ditahan Jumaat lalu itu dipercayai baru dua bulan terbabit dalam sindiket berkenaan.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan pegawai yang ditahan itu menyumbang kepakarannya dalam membantu sindiket itu.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit dalam salah laku jenayah.

“Sesiapa sahaja yang didapati bersalah tidak akan dilepaskan dan akan dibawa ke muka pengadilan.

“Bukan sahaja kesalahan dadah, kita tidak berkompromi dengan kesalahan lain seperti samun, pecah rumah dan keganasan rumah tangga kerana kita ada undang-undang,” katanya selepas merasmikan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Pantai Timur di Rantau Abang, Dungun hari ini.

Hadir sama, Timbalan Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, Datuk Nerita Yaacob dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.


MOHMAD (kanan) menandatangani plak perasmian PULAPOL Rantau Abang. FOTO Rosli Ilham

Mohmad berkata, anggota terbabit tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan seperti tindakan tatatertib, pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985

“Saya sudah mengarahkan semua pegawai dan anggota supaya tidak terbabit dengan sindiket pengedaran dadah, rasuah dan sebagainya sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan,” katanya.

Ditanya jumlah anggota polis yang dikenakan tindakan, Mohmad berkata, angka itu dilihat kecil berbanding 135,000 anggota yang ada.

“Sebagai manusia biasa, anggota kita juga tidak boleh lari dengan kesalahan, begitu juga dengan kakitangan awam lain.

“Pembabitan mereka ini mungkin terdorong daripada desakan keluarga, tekanan dan sebagainya sehingga mengundang mereka untuk melakukan kerja yang salah di sisi undang-undang,” katanya.

Pada 19 Mac lalu, polis merampas 2.06 tan syabu bernilai RM103.2 juta di Ulu Tiram, Johor yang disifatkan terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, seorang inspektor turut ditahan di rumahnya di Johor Bharu pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan berhubung rampasan syabu yang disembunyikan dalam 2,000 bungkusan teh Cina Guanyingwang di dalam sebuah kontena di ladang sawit Hulu Tiram.

Berita berkaitan:

  • [UPDATE] Inspektor polis ditahan Bukit Aman
  • Dadah untuk 10 juta pengguna
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 5:28 PM