MOHAMMAD Ashraf Hassan yang hilang sejak 23 Mac lalu.
Oleh Farah Suhaidah Othman


BAU busuk dan kesan tompokan hitam dipenuhi langau dan lalat di kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta, Ipoh tiada kaitan dengan kehilangan Mohammad Ashraf Hassan, 29 atau Acap.

Penolong Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pengarah (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu berkata, pihaknya menerima maklumat itu daripada Orang Asli yang tinggal di kawasan berkenaan jam 6 petang Sabtu lalu.

Katanya, susulan maklumat itu pihaknya mengarahkan pegawai dan anggota membuat pemeriksaan ke kawasan berkenaan jam 10 pagi, semalam.

“Kawasan yang didakwa ada bau bangkai dan kesan tompok hitam itu terletak berhampiran Hutan Simpan Bukit Kinta iaitu pada ketinggian kira-kira 400 meter.

“Pegawai yang membuat pemeriksaan di kawasan itu mendapati memang ada bau busuk seperti didakwa, namun kita tidak menemui sebarang petunjuk mengaitkan dengan kehilangan Mohammad Ashraf,” katanya ketika ditemui di pos kawalan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Pintu Padang, hari ini.

Mohd Yunus berkata, pada operasi SAR yang sudah memasuki hari ke-16, pasukan penyelamat bomba ke kawasan berkenaan sekali lagi namun bau berkenaan semakin berkurangan.

“Hasil pencarian juga tidak menemui sebarang bangkai atau penemuan yang boleh mengaitkan dengan kehilangan Mohammad Ashraf,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan supaya orang ramai terutama netizen tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kehilangan Juruteknologi Makmal, Klinik Kesihatan Muar, Johor itu.

“Kalau boleh, pihak berkuasa berkenaan ambil tindakan kepada mereka yang menyebarkan viral demi menjaga sensitiviti dan perasaan keluarga serta operasi kami,” katanya.

Berita berkaitan

'Saya tak akan berhenti'

Tiada amalan ritual melampau dilaporkan

[UPDATE] Tumpu di kawasan Gua Tempurung

Penganjur nafi hebah ops cari Acap [METROTV]

Semoga Acap cepat ditemui

Ambil tindakan penyebar kenyataan palsu Acap

Tiada ganjaran pencarian Acap

'Acap...mak kat sini...balik nak' [METROTV]

Tiada petunjuk, SAR Acap dihentikan

Rakan yakin Acap selamat

Peserta hilang ketika larian

'Baliklah Acap, mak masak asam pedas...'

Masih tiada petunjuk pencarian Acap

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:12 PM