Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


“SAYA terjatuh dari tempat duduk ke hadapan, bertindih dengan mangsa lain. Mangsa dalam bas dalam keadaan berterabur,” kata Lokendra Bahadur Shahi, 27, seorang daripada mangsa selamat dalam kemalangan bas pekerja berhampiran MAS Kargo di Sepang, malam tadi.

Warga Nepal itu berkata, ketika kejadian, dia duduk di kerusi bahagian belakang serta terjatuh terus ke hadapan sebaik bas itu menjunam ke dalam longkang.

“Kepala saya terhantuk, tetapi saya tidak ingat sama ada ia terkena kerusi atau bahagian lain dalam bas. Saya hanya sedar kepala sudah berdarah.

“Kemudian, saya serta rakan lain bangun dan keluar melalui pintu kecemasan untuk meminta pertolongan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan di Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Lokendra yang bekerja di bahagian gudang MAS Kargo bersama rakannya yang juga mangsa insiden berkenaan hadir dengan dibawa majikan mereka.

Pada masa sama, Lokendra yang sudah empat tahun bekerja di negara ini mendakwa, bas berkenaan turut dipandu dengan laju.

Rakannya, Imran Hossain, 22, yang juga warga Bangladesh berkata, dia bekerja di Sepang sejak 10 bulan lalu dan kemalangan itu memberi kesan kepadanya kerana meragut nyawa rakan sekerja.

Dia yang juga cedera di bahagian kepala trauma dengan tragedi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, sehingga kini seramai tujuh saksi sudah direkodkan keterangannya.

Portal berita Harian Metro melaporkan sebuah bas pekerja dinaiki 44 individu terjunam di dalam longkang sewaktu dalam perjalanan ke MAS Kargo, KLIA, 11.10 malam tadi.

Berita berkaitan:

  • Bas terjunam: Kematian cecah 12 orang
  • Pemandu bas tiada rekod kesalahan lalu lintas
  • Kenapa bas ikut laluan berbeza?
  • Bas terbabit nahas sudah dialihkan
  • [UPDATE] Mangsa kakitangan Mutiara Kayamas
  • [UPDATE] Seorang lagi penumpang maut [METROTV]
  • 10 maut nahas bas pekerja
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 7:40 PM
    LOKENDRA (kiri) bersama Imran (tengah) selepas memberi keterangan di Bahagian Trafik IPD KLIA, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.