GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


KEMENTERIAN Kesihatan sedang merangka Akta Kawalan Tembakau yang merangkumi kawalan penggunaan produk tembakau, termasuk rokok elektronik dan vape.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, akta itu turut meliputi bidang penguatkuasaan, penjualan, undang-undang dan hukuman.

Katanya, sebelum ini lesen penjualan rokok elektronik dan vape terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), manakala kandungan nikotin dalam rokok terbabit pula di bawah kementeriannya.

“Kita sedang menyiapkan rang undang-undang dan kami harap ia dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini sebelum dibentangkan ke Parlimen.

“Sebelum ini, penjualan rokok elektronik dan vape yang mengandungi nikotin tertakluk di bawah Akta Racun 1952,” katanya dalam sidang media selepas Sambutan Hari Kesihatan Dunia 2019, Putrajaya, hari ini.

Dzulkefly berkata, kementeriannya komited untuk melaksanakan akta terbabit kerana ia dapat menjadikan persekitaran lebih sihat.

Mengenai cukai gula, Dzulkefly berkata, pihaknya tidak bercadang untuk mengenakan cukai kepada restoran atau kedai makanan yang menjual air bergula.

“Kita bagaimanapun akan memperincikan mengenai perkara ini.

“Buat masa ini kita hanya memberi nasihat kepada orang ramai supaya mengurangkan pengambilan gula dalam minuman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 9:59 PM