Nor Amalina Alias


MAYAT lelaki dengan kecederaan di kepala, muka dan badan dipercayai dibunuh ditemui penduduk di Kampung Kedondong, Kadok, Kota Bharu, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mayat lelaki berusia awal 30-an itu ditemui di hadapan sebuah rumah tidak berpenghuni.

Mayat terbabit kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, sebaik menerima maklumat, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa yang cedera di kepala, muka dan badan dipercayai dibunuh di lokasi sama.

“Berdasarkan siasatan di tempat kejadian serta kesan darah ditemui, kami percaya kejadian (bunuh) berlaku di tempat mayat ditemui.

“Tiada senjata ditemui di lokasi kejadian dan kami sedang mengumpul bukti dan menyiasat kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, penduduk yang enggan dikenali berkata, dia terdengar bunyi bising seperti orang bertengkar kira-kira 7.30 malam tadi di lokasi kejadian.

“Saya melihat ke luar rumah dan mendapati sekumpulan lelaki sedang bertengkar dengan suara kuat dan hanya mendengar suara lelaki berkata ‘mung ni...mung ni...’ namun tidak nampak jelas.

“Saya tidak mengendahkan keadaan itu sebelum terkejut dengan kehadiran polis tidak lama selepas itu dan dimaklumkan berlaku kejadian bunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 1:29 AM
ANGGOTA polis mengangkat mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh yang ditemui penduduk di Kampung Kedondong, Kadok, Kota Bharu, malam tadi. FOTO Nor Amalina Alias.