GNANARAJA didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 68 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.
GNANARAJA didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 68 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Murni Wan Omar


AHLI perniagaan, G Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas 68 tuduhan membabitkan diri dengan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM11.4 juta, dua tahun lalu.

Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Minggu lalu, tertuduh yang pernah bergelar ‘Datuk Seri’ sebelum gelaran itu ditarik balik, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan menipu pengarah urusan syarikat membabitkan RM19 juta.

Berdasarkan tuduhan pertama hingga tuduhan ke-68, dia didakwa mengguna dan melupuskan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM11.4 juta dari akaun bank Syarikat Bumi Muhibah Capital melalui cek kepada dua agensi kerajaan, 26 syarikat berlainan serta 10 individu.

Dua agensi kerajaan terbabit ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN).

Sepuluh individu itu pula ialah Tan Su Cheng, You Hui Koon, Koh Yee Phok, Lim Voi Heng, Lee Sue Wee, Lim Voi Heng, Teh Eng Soon, S Jeewananthan, K Thiagu, K Boobalan dan Kee Bee Sim.

Antara syarikat itu pula adalah Digital Tourism Sdn Bhd, Blue Ribbon Design, CK Film (M) Sdn Bhd, IMS Motorsport dan Mulia Motor Corporation Sdn Bhd.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan KLCC, Menara Berkembar Petronas, Jalan Ampang di sini, antara 28 Julai 2017 dan 18 Januari 2018.

Bagi semua tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai menawarkan ikat jamin RM50,000 bagi semua tuduhan dengan dua penjamin.

Allan memaklumkan selepas persetujuan kedua-dua pihak, tertuduh juga mencagar hartanah bernilai RM825,000 sebagai jaminan.

Pendakwaan juga memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam berikutan tertuduh didakwa atas tiga tuduhan.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh tidak membantah berhubung jaminan dan permohonan untuk memindahkan kes itu.

Mahkamah membenarkan permohonan jaminan dan memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mahkamah juga menetapkan 6 Mei depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Shah Alam.

Pada 3 April lalu, ahli perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga tuduhan menipu seorang individu membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan siasatan projek meja terowong dasar laut di Pulau Pinang, dua tahun lalu.

Mengikut semua tuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan pengarah urusan terbabit bagi menutup siasatan dilakukan SPRM ke atas individu itu mengikut AMLATFPUAA 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 6:50 AM
Kabinet Malaysia 2020