Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


PROSES pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bermula 8 pagi ini.

Pengundian awal ini membabitkan 110 pengundi masing-masing anggota tentera dan polis serta pasangan.

Jumlah itu membabitkan 74 anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan, manakala 36 anggota polis pula di Balai Polis Rantau.

Proses membuang undi akan tamat 12 tengah hari dan peti undi akan disimpan di lokap balai polis sehingga selesai pengundian 13 April ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dijadualkan akan melawat dua pusat pengundian awal pagi ini bagi memantau proses pengundian.

SERAMAI 36 orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengundi awal di Balai Polis Rantau pada Pilihanraya Kecil Dun Rantau. FOTO Saifullizan Tamadi

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Dr S Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Barisan Nasional (BN) manakala dua calon bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November yang mengisytiharkan kemenangan BN bagi kerusi itu terbatal dan tidak sah.

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 orang pemilih berdaftar dengan jumlah itu diwakili 11,283 pengundi Melayu diikuti Cina (18.80 peratus atau 3,849), India (26.06 peratus atau 5,336) manakala lain-lain (0.02 peratus atau empat).

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 9:12 AM