GAMBAR Hiasan
Garret Dawum


SEORANG pengawal keselamatan parah dan menerima 62 jahitan selepas ditetak lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Sungai Merah, Sibu, Sabtu lalu.

Kejadian 10.30 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 55 tahun cedera di lengan kiri dan kepala.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, ketika kejadian mangsa bertugas di pondok pengawal tanah perkuburan Sungai Merah.

Beliau berkata, tiba-tiba mangsa didatangi lelaki tidak dikenali kemudian mengambil begnya yang mengandungi wang tunai RM350 dan telefon bimbit.

“Mangsa yang melawan dilibas menggunakan parang mengakibatkan dia cedera. Dia kemudiannya melarikan diri untuk meminta bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Stanley berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Sibu menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas dibantu orang ramai.

“Mangsa menerima 28 jahitan di bahagian tepi kiri kepala kerana tiga tetakan, 25 jahitan di atas kepala yang berbentuk ‘Y’ kesan dua tetakan dan sembilan jahitan kerana satu kesan tetakan di belakang kepala.

“Selain itu, mangsa juga cedera ditetak di bahagian belakang lengan kiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah semasa melakukan rompakan,” katanya.

Menurutnya, polis sedang memburu suspek dipercayai berambut pendek dan berkulit gelap.

“Mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di wad Hospital Sibu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 4:01 PM