DR Wan Azizah Wan Ismail. FOTO Muhaizan Yahya
Hairulazim Mahmud


KERAJAAN menubuhkan Pasukan Projek Khas Rang Undang-Undang (RUU) Kesaksamaan Gender dalam usaha memastikan ia mengambil kira aspek agama, sosial dan kaum di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pasukan itu dianggotai wakil kementerian, jabatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berpengalaman, pengetahuan serta kepakaran berkenaan isu kesaksamaan gender.

“Hasil daripada sesi libat urus yang diadakan, satu kerangka perundangan kesaksamaan gender perlu digubal.

“Bagaimanapun, ia perlu mengambil kira Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), perundangan sedia ada di Malaysia seperti Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam ialah agama bagi Persekutuan.

“Selain itu ia juga akan mengambil kira beberapa contoh perundangan kesaksamaan gender di negara lain seperti Filipina, India dan Vietnam,” kata beliau dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) di Dewan Rakyat semalam yang mahu tahu hasil sesi libat urus bersama pihak terbabit berhubung penggubalan RUU berkenaan dan hasil kajian impak yang dijadikan panduan menggubal akta setakat hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, bagi tujuan mewujudkan perundangan berkenaan kementerian sudah dan akan mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (JAKIM) dan NGO.

Beliau berkata, pihaknya berharap dengan pewujudan pasukan khas berkenaan dapat meneliti, menggubal dan menyediakan kerangka perundangan kesaksamaan gender di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 4:36 PM