ZULKIFLI (tiga kiri) mendengar taklimat daripada Mohamad Yunus (dua kanan). FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop


MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri menasihatkan umat Islam yang membantu usaha pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, tidak melakukan amalan bertentangan dengan ajaran Islam.

Zulkifli berkata, umat Islam dinasihatkan supaya terus bermohon kepada Allah dan melakukan solat hajat supaya Mohamad Ashraf ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

“Saya bersetuju supaya kita sentiasa berdoa dan melakukan solat hajat memohon kepada Allah kerana kita yakin dengan cara itu, Insya Allah akan ada satu penyelesaian daripada Allah.

“Cara yang dibuat apabila tidak menepati syariat Allah seperti memohon kepada makhluk lain tidak bertepatan dengan apa yang diajar.

“Tiada sedaya, tiada upaya kecuali dengan Allah, justeru itu saya memberi ingatan kepada diri sendiri dan semua apabila kita membuat sesuatu biarlah menepati syariat Islam yang sebenarnya,” katanya yang ditemui selepas melawat pusat operasi bomba di Kampung Pintu Padang di Ipoh, hari ini.

Zulkifli berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan perkara berunsur syirik ketika SAR peserta Gopeng Ultra Trail 2019 itu.


ZULKIFLI (kiri) mengaminkan doa ketika melawat pusat operasi bomba pencarian Mohamad Ashraf. FOTO Abdullah Yusof

Dalam pada itu, Zulkifli meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat pusat itu dan diberikan taklimat oleh Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu mengenai kronologi kehilangan Mohammad Ashraf serta usaha pencarian yang dijalankan.

Beliau kemudiannya bersama-sama kumpulan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengaminkan doa dipimpin Pengamal Perubatan Islam Pusat Rawatan Al-Afiah, Nabil Mahathir.

Menurutnya, pihaknya meminta semua pihak berdoa kepada Allah supaya mengembalikan Mohammad Ashraf sekiranya berada di alam lain dan dijumpai sekiranya berada di alam ini.

“Sejujurnya ingin saya katakan dalam situasi sedang mencari ini, saya teringat kepada apa yang dinyatakan oleh Saidina Umar Al-Khattab dalam riwayatnya supaya bersabar dan menunggu, Insya Allah suatu masa nanti adalah baiknya.

“Saya harap kita sama-sama bersatu hati mencari dan berusaha menemui Mohammad Ashraf yang saya yakin ada titik pengakhiran iaitu penemuan dan kita doakan dia (Mohammad Ashraf) dalam keadaan selamat dan sejahtera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 5:18 PM