Syed Hussien (tengah) bersama penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Baitulmal MAIWP. FOTO Ihsan MAIWP
Mohamad Hussin


MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) komited membantu golongan asnaf apabila memperuntukkan RM87 juta membabitkan sembilan skim bantuan zakat pendidikan bermula peringkat persekolahan hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT) tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Fuziah Salleh berkata, MAIWP adalah agensi yang bertanggungjawab dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat.

Beliau berkata, kutipan zakat dilaksanakan MAIWP menerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) manakala agihan zakat secara langsung menerusi skim bantuan dilaksanakan Bahagian Baitulmal MAIWP.

“Bagi sesi persekolahan tahun ini, MAIWP menyalurkan Bantuan Am Persekolahan kepada 20,345 pelajar dengan jumlah perbelanjaan zakat keseluruhan RM9.54 juta.

“Bagi Bantuan Persediaan IPT dan Bantuan Am Pelajaran IPT, MAIWP memperuntukkan RM67 juta tahun ini.

“Ia hasil daripada komitmen pembayar zakat bagi membantu pelajar terbabit meraih kecemerlangan dalam pelajaran.

“Sehingga kini, MAIWP menawarkan pemberian bantuan zakat menerusi 28 skim bantuan merangkumi bantuan dalam bentuk keperluan asasi, pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal MAIWP di Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Setiausaha MAIWP merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail.

Pada majlis itu, 395 penerima anugerah kecemerlangan akademik menerima sijil penghargaan dan wang tunai antara RM150 hingga RM500 mengikut peringkat peperiksaan masing-masing membabitkan peruntukan RM120,700.

Fuziah berkata, pelbagai program dan aktiviti disusun bagi memantapkan dan mempelbagaikan kaedah agihan zakat supaya ia sampai kepada golongan sasar iaitu asnaf dengan lebih menyeluruh dan berkesan.

“MAIWP juga melangkah ke hadapan dengan melancarkan bantuan khas kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di bawah Bantuan Perubatan baru-baru ini.

“Kita melihat pendidikan ejen yang paling berpotensi untuk mengeluarkan individu dan keluarga daripada kepompong kemiskinan. Dengan ilmu yang diperolehi, ia menjadi asas untuk mereka berjaya dalam kehidupan.

“Daripada 28 skim bantuan zakat yang ditawarkan, sembilan skim bantuan zakat adalah bagi pendidikan anak-anak daripada keluarga asnaf bermula peringkat persekolahan hingga ke peringkat pengajian tinggi,” katanya.

Menurutnya, MAIWP juga menubuhkan Institut Kemahiran Baitulmal yang menyediakan latihan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan kepada anak-anak keluarga fakir dan miskin.

“Dengan latihan kemahiran yang diberikan, diharap ia dapat dimanfaatkan oleh pelatih untuk mengubah taraf hidup keluarga mereka.

“Ia antara usaha yang dilaksanakan MAIWP dalam mengagih dan memanfaatkan wang zakat yang diterima daripada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan dalam konteks pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Penuntut Sarjana Muda Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Norain Azlan, 26, dinobatkan sebagai Ikon Akademik Baitulmal 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 5:35 PM