Mayat lelaki yang ditemui tergantung di pondok kebun hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Garret Dawum
garret@nstp.com.my


LELAKI ditemui mati tergantung di pondok kebun di Kampung Melaban, Kota Samarahan hari ini.

Mayat lelaki berusia 33 tahun itu ditemui adiknya 6 pagi selepas ternampak motosikal Honda Wave milik mangsa diletakkan di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, adiknya yang bergegas masuk ke kawasan semak itu ternampak mangsa dalam keadaan tergantung dan bertindak memotong tali yang terikat pada leher mangsa serta membaringkannya di tanah.

“Adiknya yang melihat darah keluar dari hidung mangsa terus memanggil ahli keluarga lain yang mengikutnya mencari mangsa sejak 4 pagi termasuk isteri mangsa.

“Isteri mangsa juga mengecam sepucuk surat tulisan tangan dipercayai ditulis mangsa yang dijumpai pada beg sandang dipakainya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mengikut siasatan awal, isteri mangsa yang berusia 31 tahun memberitahu suaminya keluar dari rumah sewa mereka di Taman Desa Ilmu 12.30 tengah hari semalam.

“Selepas dimaklumkan oleh ibunya mengenai perkara itu, dia terus menghubungi mangsa menerusi WhatsApp tetapi tidak dijawab malah mesej juga tidak dibalas.

“Risau dengan keadaan itu, dia juga menghubungi rakan terdekat untuk bertanyakan suaminya tetapi semua tidak tahu di mana mangsa berada.

“Pada 4 pagi hari ini, wanita itu bersama keluarga keluar mencari mangsa dengan menaiki kereta di sekitar Stakan dan Batu 7 tetapi tidak menjumpainya,” katanya.

Katanya, ahli keluarga mangsa akhirnya membuat keputusan mencari mangsa di sekitar Kampung Melaban sebelum menjumpai mangsa dalam keadaan tergantung.

“Pemeriksaan pada fizikal mangsa di tempat kejadian tidak mendapati sebarang kesan pergelutan melainkan kesan jerutan pada leher mangsa.

“Barang peribadi milik mangsa masih berada bersama mangsa,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Difahamkan mangsa yang bekerja di pelantar minyak sudah tidak berkerja selama enam bulan dan kali terakhir mangsa bekerja dengan syarikat luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 6:13 PM