Siraj Mohd Zaini


BAS yang terbabit dalam kemalangan di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kelmarin akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya akan menghantar bas berkenaan secepat mungkin bagi melengkapkan siasatan.

“Kita akan lihat sama ada bas terbabit mempunyai masalah teknikal seperti brek dan sebagainya.

“Setakat ini, bas itu sudah dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA untuk tindakan awal,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Neighbourhood Watch Programme (NWP) di Shah Alam, hari ini.

Noor Azam berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk merekod keterangan lebih 12 individu yang terbabit dalam nahas itu.

“Proses merekod keterangan mangsa yang terselamat juga masih berjalan dan kita sedang menunggu laporan sampel darah pemandu bas itu,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini 11 mayat warga asing belum dituntut oleh waris.

Harian Metro melaporkan seramai 12 individu termasuk empat wanita maut selepas bas pekerja dinaiki mereka menjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MASKargo, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.10 malam, lapan penumpang warga asing dan seorang pemandu bas tempatan disahkan maut di lokasi kejadian.

Sementara, tiga penumpang wanita warga asing pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya.

Berita berkaitan:

  • Polis teliti rakaman CCTV
  • Mayat pemandu bas dituntut keluarga
  • 'Kalau ada salah laku, tarik lesen
  • 'MASkargo bantu urus penghantaran pulang jenazah
  • 'Mangsa dalam bas berterabur' [METROTV]
  • Bas terjunam: Kematian cecah 12 orang
  • Pemandu bas tiada rekod kesalahan lalu lintas
  • Kenapa bas ikut laluan berbeza?
  • Bas terbabit nahas sudah dialihkan
  • [UPDATE] Mangsa kakitangan Mutiara Kayamas
  • [UPDATE] Seorang lagi penumpang maut [METROTV]
  • 10 maut nahas bas pekerja
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 6:43 PM
    BAS pekerja yang terbabit kemalangan. FOTO Aizuddin Saad