GAMBAR hiasan.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


SEORANG pengawal keselamatan ditahan kerana didapati merogol pelajar perempuan tingkatan satu di pos pengawal sebuah sekolah menengah di Balik Pulau, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, suspek berusia 24 tahun dan sudah berkahwin itu ditahan pada 2.20 petang hari ini di kawasan sekolah terbabit.

Menurutnya, penahanan suspek dilakukan susulan laporan polis dibuat ibu mangsa selepas mengesyaki anaknya itu mempunyai hubungan dengan pengawal keselamatan terbabit.

“Pelajar berkenaan pada mulanya enggan mengaku dia mempunyai hubungan dengan suspek walaupun berkali-kali ditanya si ibu.

“Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan polis pada 6 petang Jumaat lalu selepas dia mendapat bukti anaknya memang menjalinkan hubungan dengan suspek selain pernah ternampak mereka bercium,” katanya.

Anbalagan berkata, suspek akhirnya mengaku mereka bercinta sejak Februari lalu dan pernah mengadakan hubungan seks dengan pelajar terbabit awal Mac lalu dalam pos pengawal keselamatan.

Beliau berkata, pihaknya membawa remaja itu menjalani pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang dan memang terdapat kesan koyakan lama.

Katanya, suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 10:45 PM