PROJEK PR1MA terbengkalai di Bandar Ekar, Rantau dijangka siap pada Mei 2020. FOTO Saifullizan Tamadi.
Raja Noraina Raja Rahim


TIADA lagi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang terbengkalai selain di Bandar Ekar, Rantau.

Perkara itu disahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berdasarkan semakan dan penelitian dilakukan kementeriannya setakat ini.

Bagaimanapun, menurutnya, beliau sudah mengarahkan pembinaan projek PR1MA di Bandar Ekar, Rantau, Seremban yang sepatutnya siap 31 Januari lalu diteruskan dan dijangka siap pada Mei 2020.

“Setakat ini, tiada projek PR1MA lain yang terbengkalai.

“Tetapi ada projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Chembong, Rembau yang baru 10 peratus siap terhenti disebabkan kontraktor tarik diri.

“Kementerian kini dalam proses mengenal pasti kontraktor baru bagi meneruskan projek itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di bangunan baharu Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di Seremban, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong serta Yang Dipertua MPS, Datuk Zazali Salehuddin.

Selain itu, Zuraida berkata, pihaknya turut meminta EXCO kerajaan negeri mewujudkan jawatankuasa khas mengkaji semula projek hotel terbengkalai di Port Dickson.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan akan meneliti dan menyemak semua projek berkenaan terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Bangunan terbengkalai berusia lebih enam tahun mungkin akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan baru seperti dilakukan di Highland Tower.

“Terdapat 14 projek bangunan hotel di Port Dickson terbengkalai yang akan dikaji semula secara menyeluruh menggunakan pendekatan sama seperti dilakukan kementerian di kawasan Highland Tower itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 12:26 AM