NORAIN menerima anugerah yang disampaikan Syed Hussien dalam satu majlis di Kuala Lumpur, semalam.
Mohamad Hussin


“SAYA mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat kerana mereka, saya dan rakan-rakan lain dapat menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas kurniaan dan limpah-Nya. Kejayaan ini bermula daripada keberkatan Allah SWT,” kata penerima Ikon Pelajar Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2019 Norain Azlan, 26.

Norain yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Al-Quran dan Sunnah) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam.

Anak kedua daripada lapan beradik itu berkata, kejayaan itu bermula dengan keberkatan ibadah yang ditunaikan melalui istiqamah.

“Kejayaan saya datang daripada keberkatan guru yang menyumbang ilmu dan membuka dengan lebih luas kejayaan seseorang pelajar berkenaan.

“Tidak ketinggalan kepada ibu bapa dan keluarga serta mereka yang sentiasa mendoakan kejayaan saya.

“Saya berterima kasih kepada penyumbang zakat kerana dengan keberkatan wang yang mereka salurkan dapat membantu menempah kejayaan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal MAIWP di Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee yang mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Fuziah Salleh.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Setiausaha MAIWP merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail.

Norain berkata, dia mula menerima bantuan Baitumal MAIWP sejak tahun pertama ketika menuntut di UKM pada 2014 hingga meneruskan pengajian di peringkat sarjana.

“Saya tidak dapat membalas jasa mereka (pembayar zakat) dengan wang atau pun harta tetapi apa yang boleh saya katakan semoga Allah SWT memudahkan urusan mereka di masa akan datang..

“Ibu saya bertugas sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) manakala ayah kini mengidap penyakit nyanyuk (alzheimer),” katanya yang akan membalas jasa kedua ibu bapanya selepas bekerja nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 6:01 AM