DR Mazlina (tiga dari kanan) mendengar aduan pengadu.
DR Mazlina (tiga dari kanan) mendengar aduan pengadu.
Yusmizal Dolah Aling


NIAT mereka ingin meminjam untuk menyelesaikan masalah kewangan namun lebih 100 peminjam along kini berdepan tindakan mahkamah apabila maklumat perbankan mereka digunakan sindiket sebagai medium transaksi membabitkan kerugian lebih RM15 juta sejak setahun lalu.

Dengan jumlah transaksi antara RM5,000 dan RM4 juta setiap seorang, mereka berdepan puluhan laporan polis yang dibuat selepas ceti haram menjadikan akaun bank milik mereka sebagai akaun rasmi untuk semua transaksi tanpa disedari.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Biro Pembangunan Sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Dr Mazlina Abu Bakar yang menerima aduan pengadu berusia 20 hingga 65 tahun sejak awal tahun lalu mendakwa mereka menjadi mangsa sindiket keldai akaun selepas berurusan dengan along untuk pinjaman.

Katanya, rekod pihaknya setakat ini mendapati seorang pengadu berdepan sehingga 30 laporan polis di seluruh negara kerana akaunnya digunakan sindiket selepas kad ATM miliknya diserahkan kepada along sebagai syarat kelulusan pinjaman, awal tahun ini.

“Mereka tidak mengetahui maklumat diserahkan dimanipulasi untuk tujuan lain. Ada yang menyerahkan sendiri kad bank, tapi kebanyakan mereka menggunakan khidmat kurier untuk pos kad itu kepada alamat yang diberitahu.

“Paling malang, ada akaun digunakan sindiket ketika pemiliknya berada di dalam penjara untuk kes lain menyebabkan ia menjadi semakin rumit. Kita hairan bagaimana sindiket ini boleh beroperasi dengan meluas, menggunakan data peribadi orang lain menyebabkan mereka menanggung risiko tinggi dipenjarakan,” katanya kepada Harian Metro.

Pengadu, Amira ketika ditemui berkata, dia membuat pinjaman RM10,000 Januari lalu selepas menghadapi masalah kewangan.

Katanya, menerusi iklan di Facebook, dia menghubungi along terbabit sebelum diminta memberi kad bank sebagai syarat kelulusan.

“Kerana terdesak, saya serahkan kad dan mengharap duit masuk. Namun sebaliknya berlaku apabila along memaklumkan ada masalah teknikal untuk memasukkan wang ke akaun saya.

“Saya jangkakan pinjaman tidak diluluskan dan oleh kerana akaun saya kosong, saya minta kad dipulangkan. Selepas beberapa lama, saya masih belum dapat semula kad itu dan oleh kerana akaun kosong, saya biarkan dulu,” katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan.

Amira berkata, tidak lama selepas itu, dia menerima panggilan daripada polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar meminta dia hadir memberi keterangan berhubung transaksi mencurigakan.

Menurutnya, dia terkejut sebaik dimaklumkan ada 29 laporan serupa ke atasnya dengan anggaran transaksi antara RM10,000 hingga RM120,000 yang tidak diketahui kerana tidak pernah berurusan menggunakan akaun terbabit sejak awal tahun.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Rahayu, 23, berkata, dia meminjam dengan ceti haram RM5,000 selepas perniagaannya menghadapi masalah.

Mendapat nombor telefon menerusi iklan Facebook, dia berurusan dengan along terbabit yang memintanya menyerahkan kad bank sebagai syarat pinjaman.

“Bagaimanapun, selepas sebulan menunggu, saya menerima panggilan polis mengatakan ada lebih 10 laporan atas nama saya kerana akaun digunakan untuk transaksi pinjaman mudah.

“Saya buntu kerana langsung tidak mengetahui apa-apa kerana menyangkakan akaun itu tidak lagi aktif.

“Lebih malang, saya cuba menghubungi telefon along terbabit, tetapi gagal menyebabkan saya disabitkan dengan kesalahan bersubahat dengan sindiket pinjaman yang memperdaya orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 6:10 AM