GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana


LELAKI kurang siuman ditemui mati dipercayai akibat dilanggar lari dalam kemalangan di Kilometer 9, Jalan Lama Papar - Kota Kinabalu, Kampung Nagapas, di Papar, malam tadi.

Mayat lelaki berusia 40-an ditemui anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar ketika membuat rondaan di kawasan berkenaan, 8.40 malam.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew AK Umpit berkata, siasatan mendapati ketika polis MPV sedang membuat rondaan di kawasan Kampung Nagapas, melihat susuk tubuh manusia di tepi jalan.

“Anggota MPV terus membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa adalah seorang lelaki yang dipercayai dilanggar oleh kenderaan ketika melintas jalan.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia sejurus kemalangan itu berlaku akibat pendarahan di bahagian kepala mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Batholomew berkata, siasatan lanjut mendapati waris mangsa yang ditemui mengatakan bahawa mangsa kurang siuman dan selalu kelihatan berjalan-jalan di kawasan pekan dan kampung-kampung di sekitar daerah ini.

“Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan kenderaan yang dipercayai melanggar mangsa terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 10:10 AM