ANTARA penagih dadah ditahan dalam Op Sarang. FOTO Ihsan PDRM
Nor Farhani Che Ad


HASRAT tujuh penagih dadah melepaskan gian di kawasan ladang kelapa sawit terbantut selepas mereka ditahan polis dalam Op Sarang di Kampung Jubai Atas, Labu Besar di Sungai Kob, Kulim, Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, dalam serbuan selama dua jam setengah bermula 11 pagi itu, pihaknya menahan tujuh suspek berusia 25 hingga 55 tahun.

Katanya, operasi membabitkan lapan anggota termasuk seorang pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

“Hasil ujian air kencing mendapati semua individu ditahan positif dadah. Tiga daripada mereka dikesan memiliki dadah dan dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan.

“Kami merampas dadah jenis heroin dan syabu di lokasi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua suspek diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

“Salah seorang suspek adalah penagih berulang dan disiasat mengikut Seksyen 39C ADB 1952 kerana melakukan kesalahan penagihan melebihi dua kali.

“Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara mandatori lima tahun dan tiga kali sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 11:26 AM