LOKASI penemuan ‘Deep Skull’ berusia 35,000 tahun di Gua Niah, Miri. FOTO Kandau Sidi
LOKASI penemuan ‘Deep Skull’ berusia 35,000 tahun di Gua Niah, Miri. FOTO Kandau Sidi
BERNAMA

JABATAN Muzium Sarawak dalam proses rundingan untuk membawa pulang rangka manusia Gua Niah yang menjadi bahan kajian sejak 50 tahun di Universiti Nevada, Amerika Syarikat dan dijangka selesai pada Disember 2019 nanti.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan itu antara usaha berterusan bagi membawa balik dokumen, artifak dan warisan negara yang berada di luar negara.

Jawapan bertulis itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-PBB Santubong) yang ingin tahu langkah kerajaan membawa balik dokumen-dokumen artifak dan warisan negara yang telah dirompak, dicuri dan dibawa keluar dari negara ini dan berada di negara-negara lain.

Usaha itu dijalankan bersama-sama muzium negeri selain Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Jabatan Warisan Negara (JWN), Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

“Bahan-bahan sejarah dan artifak negara sememangnya banyak berada di luar negara dan tersimpan di tempat-tempat tertentu seperti di muzium-muzium dan ada juga yang dimiliki oleh orang perseorangan. Sebahagian koleksi ini tidak dapat dibawa pulang kerana tertakluk kepada undang-undang tertentu negara berkenaan,” demikian menurut jawapan bertulis terbabit.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam jawapan bertulis itu turut menyatakan, JMM sudah membeli semula beberapa artifak pada 2001 dan membawa pulang artifak dari London yang terdiri daripada 8 koleksi etnologi iaitu senjata Melayu dan topeng Dayak yang bernilai kira-kira RM1 juta.

PNM juga memperoleh sejumlah 780 salinan manuskrip Melayu lama dari institusi-institusi penyimpanan bahan di luar negara seperti National Library Board Singapore, Bibliotheque Nationale de Paris, Leiden University Library, Belanda, Cambridge University Library dan British Library, London.

“PNM kini dalam proses membangunkan pangkalan data Katalog Induk Manuskrip Melayu sebagai satu usaha untuk menyimpan rekod bibliografi manuskrip Melayu,” kata jawapan bertulis itu.

Ia turut menyebut bahawa PNM sudah memperoleh 3,668 naskhah bahan nadir Malaysiana yang diperoleh dari dalam dan luar negara seperti United Kingdom yang mana bahan nadir yang diperoleh ini merangkumi koleksi bahan penerbitan bahasa dan kebudayaan Melayu, pendidikan dan sejarah negara Malaysia.

Selain itu, usaha lain adalah JWN pada 2006 membawa masuk dua jasad pahlawan Melayu yang dikebumikan di Singapura iaitu jasad Laksamana Muhammad Amin untuk dikebumikan semula di Makam Diraja, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan jasad Tengku Menteri Ngah Ibrahim untuk dikebumikan semula di Muzium Matang.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, JWN juga telah membawa masuk rangka manusia purba Gua Cha, Kelantan dari University of Cambridge pada tahun 2008 untuk dipamerkan di Muzium Negara.

Berita berkaitan

'Orang Niah' dibawa pulang tahun ini

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 11:31 AM
Digital NSTP Subscribe