TUN Mahathir Mohamad ketika hadir pada Forum KewanganIslam ke-15 2019 di Kuala Lumpur. FOTO/ Syarafiq Abd Samad
BERNAMA

PELANTIKAN pemangku Menteri Besar Johor akan dilakukan secepat mungkin, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada masa ini, menurutnya, terdapat beberapa calon untuk jawatan berkenaan namun menegaskan ia akan mengambil sedikit masa.

“Kita nak tentukan calon. Ada beberapa calon kita nak pilih tetapi ia ambil masa sedikit, tetapi kita akan pilih secepat mungkin,” katanya selepas merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2019 (KLIFF 2019) di sini, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir memaklumkan Datuk Osman Sapian meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor.

DATUK Osman Sapian. FOTO/ Hairul Anuar Rahim

Perdana Menteri berkata, Osman menyerahkan dua surat peletakan jawatan itu kepadanya dalam satu pertemuan di Putrajaya dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, ditanya pihak mana yang akan membuat keputusan berhubung pemilihan calon Menteri Besar Johor, Dr Mahathir berkata:

“Ini adalah hal politik. Tugas sekarang adalah kepada parti yang menang pilihan raya untuk menentukan siapa yang memimpin.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 12:31 PM