NOR Sayuti (tiga dari kiri) bersama tiga anaknya menerima pencen Penakat PERKESO disampaikan Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaccob (kiri). FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
Hazira Ahmad Zaidi


BALU kepada anggota Rejimen 515 askar wataniah meninggal dunia Sabtu lalu, akibat ketumbuhan pada otak menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Nor Sayuti Ngah, 42, menerima sebanyak RM968.75 setiap bulan untuk seumur hidup.

Dia masih bersedih dengan pemergian suami, Zamrie Mohd Noor, 44, meluahkan rasa syukur kerana pencen berkenaan boleh meringankan bebannya untuk membesarkan empat anak berusia tiga hingga 17 tahun.

Katanya, arwah suami dikesan menghidap ketumbuhan pada otak pada 2013 dan beberapa kali menjalani pembedahan.

Ceritanya, keadaan arwah Zamrie semakin serius tiga minggu lalu dan dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras sebelum dipindahkan ke Hospital Pasir Mas.

“Suami pernah berkhidmat bersama Pos Malaysia selama 13 tahun sebelum bekerja sebagai Juruteknik Komputer di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan menyertai askar wataniah sejak dua tahun lalu.

“Saya tidak menyangka menerima pencen PERKESO hasil caruman arwah suami yang bekerja keras demi kami sekeluarga ketika hayatnya.

“Rezeki ini akan saya gunakan sebaiknya untuk membesarkan empat anak supaya menjadi insan berjaya sebagai mana harapan suami,” katanya selepas menerima kunjungan daripada Pengarah PERKESO Negeri Kelantan, Nora Yaccob di Kota Bharu, semalam.

Turut hadir, Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 515 Askar Wataniah, Azahar Abdul Razak.

PERKESO turut menyerahkan cek pampasan kepada dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

Sementara itu, Nora berkata, kunjungan itu sebagai salah satu langkah pihaknya untuk mendekati pencarum atau ahli keluarga mereka selain mendedahkan tentang faedah PERKESO terutama ketika berlaku kemalangan atau kematian.

“Skuad PERKESO Prihatin turut ditubuhkan di negeri ini bagi memudahkan pihak kami membantu masyarakat dengan kadar segera.

“Malah, kami mengambil langkah proaktif menggunakan media sosial bagi mengesan pencarum yang layak menerima pampasan.

“Kami sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menyelesaikan kes yang diperoleh daripada pelbagai sumber terutama membabitkan kematian dan sakit kronik untuk dibantu segera jika memenuhi syarat kelayakan caruman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 5:43 PM