AMINUDDIN melihat model rumah contoh selepas melancarkan Projek Perumahan Penjawat Awam Negeri Sembilan. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim


NEGERI Sembilan tiada rancangan untuk menaikkan tarif air, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) masih mampu memberikan perkhidmatan terbaik walaupun tiada kenaikan tarif air bagi kegunaan domestik dibuat sejak 18 tahun lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas dengan syarikat air itu dapat menjana keuntungan dan kos operasi dapat dikurangkan.

“Dalam mesyuarat sebelum ini kita sudah bersetuju untuk tidak menaikkan tarif air tetapi kita akan lihat perkara itu. Setakat ini, memang tidak akan ada kenaikan dibuat.

“Ini tanggungjawab SAINS untuk memastikan rakyat tidak terbeban dan dapat menikmati harga menarik. Pada masa sama SAINS mampu memaksimumkan keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat EXCO dan majlis pelancaran Projek Perumahan Penjawat Awam Negeri Sembilan di Wisma Negeri di Seremban, hari ini.

Sementara itu, Aminuddin berkata, paras air di tujuh empangan di negeri ini masih stabil dan mencukupi walaupun keadaan cuaca panas ketika ini.

Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar di Dewan Rakyat hari ini mengesahkan enam negeri bersetuju untuk menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan kepada pengguna.

Beliau dilaporkan berkata, perundingan untuk menaikkan tarif air giat dijalankan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 8:03 PM