ANWAR ketika berucap di ceramah di Pekan Rantau, malam ini menjelang PRK DUN Rantau. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


KEMENANGAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau penting bagi membuktikan rakyat negara ini berprinsip dan mahu ditadbir kerajaan mampu ‘merawat’ Malaysia.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengundi di Rantau perlu membuktikan mereka menolak pemimpin terbabit dalam pelbagai skandal masih belum mampu dijelaskan dengan keluar mengundi pada Sabtu ini.

Menurutnya, kekalahan dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih, baru-baru ini membuka mata PH agar perlu lebih berusaha keras memenuhi aspirasi diharapkan rakyat.

“Kita kalah di Cameron Highlands dan Semenyih sebab kita agak rileks (tenang) semuanya, tapi kali ini di Rantau kita harap semua keluar mengundi.

“Ini bukan soal calon kaum India menyebabkan kaum lain tak perlu sokong. Tapi ini soal untuk selamatkan Malaysia dan sokongan perlu diberikan kepada Dr Streram,” katanya ketika berceramah di Pekan Rantau, malam ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, limpahan pembangunan akan dibawa ke Rantau dan kawasan sekelilingnya sehingga Melaka apabila mandat lebih kuat diberikan kepada PH.

Katanya, pelbagai projek di Port Dickson sudah dikenal pasti antaranya hotel dan taman tema yang akan memberi manfaat kepada rakyat Rantau.

“Ada beberapa projek sudah diluluskan dan saya mahu kepesatan pembangunan di Port Dickson turut dirasai tempiasnya di Rantau dan Linggi sehingga Melaka,” katanya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam PRK DUN Rantau, PH diwakili pakar bius, Dr S Streram manakala Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon.

Selain itu, dua calon bebas menawarkan diri untuk bertanding iaitu Mohd Nor Yassin dan R Malarvizhi.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:03 AM