Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


CALON Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan didakwa lebih fokus untuk menjadi Perdana Menteri (PM) berbanding berkhidmat sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, walaupun bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menafikan perkara itu, ia adalah hakikat sebenar yang bertiup kencang di dalam pembangkang ketika ini.

“Isu (Mohamad) mahu menjadi PM kini sedang panas berlegar dalam lingkungan ahli UMNO dan PAS.

“Saya dapat agak reaksi beliau (menafikan) tapi sudah tentu pokok tidak akan bergoyang kalau tak ada angin atau orang goncang,” katanya ketika ditemui selepas program ceramah umum Pakatan Harapan di pekan Rantau hari ini.

Hadir sama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan

calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, Dr S Streram.

Media hari ini melaporkan Mohamad menganggap ‘cakap-cakap’ bahawa dakwaan mengatakan beliau bakal menjadi PM jika BN kembali memerintah hanya sekadar gurauan ketika berkempen.

Beliau berkata, ia sekadar khabar angin, namun mengakui kurang selesa jika ia berterusan digunakan dalam kempen.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, usaha mengangkat Mohamad yang juga pemangku Presiden UMNO ke jawatan nombor satu negara itu akan mengabaikan kebajikan penduduk Rantau.

“Sekarang ini orang angkat dia (Mohamad) sebagai calon PM dan dia kena pusing seluruh negara.

“Jadi Rantau ini akan jadi bukan keutamaan yang akhirnya akan ditinggalkan kepada pegawainya.

“Ini realiti yang perlu dipertimbangkan pengundi di Rantau,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:20 AM
Rafizi bersama calon Pakatan Harapan, Dr S Streram pada ceramah Pakatan Harapan di pekan Rantau. FOTO Saifullizan Tamadi