SHASHILIANA memangku Nur Akid Yusuf yang menghidap penyakit kelainan genetik.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“KALAU diizinkan Allah, saya mahu umurnya panjang dan dapat membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain,” kata Shashiliana Ali Hanapiah, 33, ibu Nur Akid Yusuf, bayi berumur setahun tiga bulan menghidap sindrom Wiskott-Aldrich iaitu penyakit kelainan genetik yang menyebabkan masalah platelet darahnya rendah.

Shashiliana berkata, anaknya disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berumur setahun namun mengalami tanda seperti kekurangan platelet dan lebam di badan sejak lahir lagi.

Berikutan penyakit berkenaan, Shashiliana berkata, Nur Akid yang kini mendapat rawatan di Hospital Selayang di sini, perlu menjalani pembedahan segera seperti disyorkan doktor.

Namun, apa yang merunsingkannya dan suami, Azaruddin Shah Azizan, 39, adalah mencari wang RM80,000 bagi menampung kos pembedahan berkenaan.

“Semasa berumur tujuh bulan, Nur Akid diserang demam panas secara tiba-tiba dan selepas menjalani pemeriksaan di hospital doktor mengesahkan dia mengalami penyakit denggi hingga terpaksa ditahan di wad.

“Ketika di dalam pemerhatian, darahnya diambil sekali lagi untuk diperiksa dan ujian dijalankan mendapati dia mempunyai sindrom berkenaan.


NUR Akid

“Luarannya, dia nampak ceria seperti kanak-kanak lain namun sindrom berkenaan menyebabkan badannya agak sensitif iaitu mudah lebam dan mengalami bengkak di kaki serta lutut.

“Sebagai ibu, bukan mudah untuk saya menerima hakikat itu pada mulanya namun saya tabahkan hati dan kekuatan itu juga datang daripadanya,” katanya.

Menurut Shashiliana, buat masa ini, Nur Akid dibawa menjalani pemeriksaan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Shashiliana berkata, keadaan Nur Akid yang kerap ditahan di hospital menjadi punca suaminya tidak dapat bekerja tetap kerana perlu bergilir-gilir menjaga zuriat bongsu mereka selain anak sulung, Nur Naira Aisya yang berumur tiga tahun.

“Disebabkan penyakit itu, Nur Akid kerap ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan jadi suami terpaksa bekerja sambilan iaitu dengan mengambil upah sebagai mekanik, selain melatih individu perseorangan menunggang kuda pada hujung minggu.

“Pendapatan hasil dua pekerjaan itu juga tidak menentu dan setakat ini, kami hanya dapat mengumpul RM6,000.

“Saya menghantar permohonan kepada zakat Selangor dengan bantuan PPUM dan diharap ia mendapat kelulusan segera bagi meringankan beban kami,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank bernombor 162151826041 atas nama Shashiliana Ali Hanapiah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 6:20 AM