LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


MANGSA yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta terjunam ke dalam gaung di Jalan Tapah - Cameron Highlands dekat Tapah petang semalam, adalah lelaki warga emas yang tercampak keluar dari kereta berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, lokasi kemalangan sebenar adalah di Kilometer 40 atau Batu 25, Jalan Tapah - Cameron Highlands.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan enam mangsa menaiki kereta Perodua Myvi dan mangsa yang maut adalah penumpang hadapan, Awang Kechik Dollah, 75, yang beralamat di Kampung Manik Urai Lama, Kelantan.

“Pada 6.50 petang anggota bertugas di pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah terima laporan satu kemalangan maut berlaku di Batu 25 Jalan Tapah - Cameron Highlands.

“Siasatan awal dijalankan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa kereta dipandu lelaki berusia 32 tahun dari Kuala Lumpur menghala ke Cameron Highlands dan apabila sampai di tempat kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum jatuh gaung sedalam 500 meter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Azharuddin berkata, akibat kemalangan itu penumpang hadapan yang juga bapa mentua kepada pemandu, maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kereta.

“Pemandu kereta hanya cedera serta empat lagi ahli keluarganya yang kesemuanya wanita berusia 12 hingga 32 tahun duduk di bahagian belakang terselamat dan hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands.

“Mayat mangsa pula dibawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kereta yang terbabit dalam kemalangan maut itu akan dibawa ke IPD Tapah untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Maut kereta terjunam dalam gaung

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 8:43 AM