FOTO Hiasan
Iskandar Shah Mohamed


SEORANG bekas pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan lesen perniagaan sebuah rumah urut, tiga tahun lalu, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam, hari ini.

Tertuduh, Shah Rizal Ismail Basha, 40, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan awal, dia yang kini penganggur didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada seorang individu sebagai dorongan bagi membantu mendapatkan lesen perniagaan syarikat JJ Harmony Spa.

Bagi dua pertuduhan lain, tertuduh didakwa menerima suapan itu daripada individu berkenaan bagi tujuan sama.

Semua perbuatan itu dilakukan di syarikat JJ Harmony Spa, Taman Anggerik Perdana, Semenyih, antara 12 Mei hingga 6 Jun 2016.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Michael Joimin yang mengendalikan kes menawarkan jaminan berjumlah RM50,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Shah Rizal yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon pengurangan kerana mempunyai tanggungan seorang isteri, ibu dan dua anak.

“Saya kini juga tidak bekerja dan tiada pendapatan tetap selain mengidap penyakit darah tinggi,” katanya.

Rozilah kemudian membenarkan jaminan tertuduh berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:18 PM