PENGASUH bayi (kiri) diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman berhubung kes kematian bayi tersedak susu Selasa lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


WANITA direman satu hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kematian bayi berusia empat bulan akibat tersedak susu, dalam kejadian petang kelmarin.

Perintah reman ke atas suspek berusia 39 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Nur Hidayah Abdul Manaf.

Permohonan reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Terdahulu wanita terbabit yang memakai tudung biru dan berseluar panjang diiringi polis bagi mendapatkan perintah reman tiba di perkarangan mahkamah pada 11 pagi.

Kelihatan beberapa individu dipercayai keluarga wanita itu dilihat menunggu di luar mahkamah sehingga perintah selesai pada 11.45 pagi.

Pada 4.15 petang semalam, wanita yang juga pengasuh bayi lelaki berusia empat bulan yang meninggal dunia dipercayai tersedak susu ketika berada di rumahnya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, suspek ditahan di Kampung Melayu Majidee.

Bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu ketika berada di rumah pengasuhnya itu.

Harian Metro semalam melaporkan, bapa mangsa, Muhd Hafez Mohamad, 32, dimaklumkan pengasuh kira-kira 2.30 petang kelmarin bahawa anaknya tidak sedarkan diri sebelum bergegas ke rumah pengasuh dengan menunggang motosikal.

Sebaik tiba, dia dapati anak lelakinya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri serta sudah kebiru-kebiruan.

Polis kemudian mengklasifikasikan kematian bayi itu sebagai mendatangkan kematian secara cuai.

Shahurinain berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Menurutnya, laporan bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan punca kematian adalah tersedak susu atau ‘aspiration pneumonia’.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Sah maut tersedak susu'

'Terdetik anak sudah tiada'

[UPDATE] Pengasuh bayi maut tersedak susu ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:58 PM