KEADAAN van EMRS yang dinaiki Muhammad Adib. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my


PIHAK berkepentingan dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, hari ini, sekali lagi melawat van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terbabit dalam insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

Difahamkan, lawatan itu bagi membuat penelitian terhadap van terbabit yang masih ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.

Pihak berkepentingan itu termasuk Pegawai Pengendali inkues, Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Selain itu, ia disertai tiga saksi pakar yang memberi keterangan dalam inkues berkenaan iaitu Ketua Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Mohd Shah Mahmood; Pakar Perubatan Forensik HKL, Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Bagaimanapun, lawatan kali ini tidak disertai oleh Koroner Rofiah Mohamad.

Pasukan itu tiba di balai bomba berkenaan kira-kira 11.30 pagi dan meluangkan masa lebih dari satu jam untuk meneliti van EMRS terbabit.

Terdahulu, ketika prosiding bersambung pagi di Mahkamah Koroner, Shah Alam, Rofiah membenarkan permohonan Hamdan untuk mengadakan lawatan itu bagi mendapat gambaran lebih jelas berhubung pintu van.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS BBP Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu.

Prosiding di hadapan Rofiah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 2:51 PM