Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) perlu menyiasat penganjuran majlis pemberian duit sempena Aidilfitri kepada pengundi yang diadakan di Sendayan, semalam.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun majlis itu dibatalkan saat akhir selepas berjaya ‘dihidu’ beberapa jam sebelum berlangsung sehingga laporan polis dibuat hari sama.

Beliau berkata, tindakan itu sudah pasti menyalahi peraturan pilihan raya kerana menganjurkan program untuk pengundi ketika kempen pilihan raya.

“SPR digesa siasat majlis berkenaan (pemberian duit raya) untuk penduduk di Sendayan ketika kempen pilihan raya sedang berlangsung.

“Majlis itu diadakan di Sendayan yang turut menjadi sebahagian kawasan pilihan raya kecil Rantau. Hari raya masih jauh tapi kenapa diadakan ketika kempen. Lepas laporan polis dibuat ia dibatalkan pula,” katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan BN di Rembau, hari ini.

Mohamad yang mesra disapa Tok Mat turut menggesa SPR menjalankan siasatan terhadap dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mengakui meminta calon Pakatan Harapan (PH) merempuh kawalan polis ketika hari penamaan calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei tahun lalu.


MOHAMAD Hasan pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional, Kg Kanchong. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya, tindakan itu jelas melanggarundang-undang dan siasatan lanjut perlu dijalankan segera kerana ia memberi imej yang negatif kepada SPR dan polis seolah-olah menghalang calon menghantar borang pencalonan.

“Saya harap SPR siasat perkara itu (arahan merempuh polis) kerana ia tindakan yang mencabar undang-undang,” katanya.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan dalam ceramahnya malam semalam mengakui meminta Dr Streram merempuh kawalan polis ketika dihalang memasuki pusat penamaan calon kerana tidak memakai pas calon yang dikeluarkan SPR.

Dalam pada itu, Mohamad masih dengan pendirian untuk tidak mahu mengulas lanjut mengenai pembelian pangsapuri di London bernilai RM10 juta kerana menganggap siasatan kes itu sudah selesai.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 3:20 PM