Mohd Hilmie Hussin


SEORANG penghuni pusat pertubuhan kebajikan didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan membunuh rakan lelakinya, awal bulan ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Riduan Abd Samad, 38, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, Riduan penghuni pusat Pertubuhan Kebajikan Villa Harapan didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang penghuni di pusat sama iaitu Mazeline Sabtu, 53.

Tertuduh melakukan kesalahan di belakang asrama lelaki Pertubuhan Kebajikan Villa Harapan

di Jalan Tebing Tinggi, Duyong, 3.30 petang, 1 April lalu.


RIDUAN (tengah) diiringi anggota polis. FOTO Khairunisah Lokman.

Justeru, Riduan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu dia mempunyai masalah kesihatan mental.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai Johor Bahru, Johor untuk pemeriksaan kesihatan mental dan 10 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 3:47 PM