AHMAD bersama pemilik Claypot Patin Tempoyak Temerloh pada majlis perasmian premis berkenaan di Jalan Sg Tekali, Seksyen 27, Shah Alam. FOTO/ Faliq Lajim


PERMINTAAN tempoyak sebagai sajian makanan untuk pengguna dan restoran di negara ini mencecah sejuta kilogram (kg) pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, keadaan itu membuktikan tempoyak turut menjadi sajian tradisional yang terus digemari rakyat tempatan.

“Penghasilan tempoyak bukan sesuatu yang sukar berikutan ia produk hiliran daripada isi durian yang

diperam. Ia juga semakin dikenali di Eropah apabila terdapat syarikat tempatan sudah mengeksportnya ke benua berkenaan.

“Saya percaya ia setanding dengan makanan tradisional lain seperti Korea iaitu kimchi yang mendapat permintaan orang ramai.

“Justeru, kita juga boleh berbangga terhadap produk tempoyak dengan menjadikannya sebagai menu wajib seperti negera berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Restoran Claypot Patin Tempoyak Temerloh di Seksyen 27, hari ini.

Menurutnya, FAMA giat mempromosikan tempoyak dalam sajian makanan tradisional dan kontemporari.

“Kita tidak mahu ia hanya digunakan dalam menu tradisional seperti ikan air tawar terutama ikan patin semata-mata.

“Saya pernah diperkenalkan seorang chef dengan menu ‘kanapis’ yang meletakkan tempoyak dalam roti

Perancis disapu dengan mayonis dan salad. Rasanya ternyata mengagumkan dan mampu mencapai tahap cita rasa antarabangsa,” katanya.

Beliau turut berkata, pihaknya kini berusaha meningkatkan permintaan ikan air

tawar kepada sasaran 50 peratus sebagai alternatif ikan laut.

“Ia selaras dengan seruan kerajaan yang mahu menjadikan 50 peratus rakyat di negara ini menggunakan ikan air tawar sebagai asas protein dalam makanan mereka berikutan ikan di laut yang semakin berkurangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 5:04 PM