AGENSI Penguatkuasaan Maritim (APMM) Terengganu mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bot tempatan yang mengalibabakan lesen bot mereka kepada nelayan Vietnam.

Ia termasuk mengheret pemilik lesen bot tempatan ke mahkamah berbanding sebelum ini apabila hanya membabitkan tekong dan awak-awak bot ditahan.

Ini kerana tindakan pengusaha bot tempatan yang sanggup menjadi tali barut nelayan Vietnam dengan menjual lesen tempatan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa menyebabkan masalah pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Terengganu bagaikan tidak berkesudahan.

Terbaru, APMM negeri ini menahan dua lagi bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negeri ini dengan menggunakan lesen dan nombor pendaftaran bot tempatan.

Dua bot terbabit yang menggunakan kaedah tangkapan secara berganding (tunda dua bot) dikesan mencuri hasil laut negara oleh kapal Maritim KM Segantang yang melakukan rondaan Ops Iman pada jarak 54 dan 45 batu nautika dari muara Kuala Terengganu antara jam 5.45 dan 6 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, berkata susulan tangkapan itu pihaknya merampas pelbagai jenis ikan, 35,000 liter diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM3 juta.

“Sebaik menyedari kehadiran bot APMM, nelayan terbabit segera memotong tali pukat bagi memudahkan mereka melarikan diri.

“Kami terpaksa mengambil masa 45 minit bagi melakukan tangkapan terhadap kedua-dua bot terbabit selepas melarikan diri hampir 10 batu nautika,” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.


APMM Terengganu menahan bot nelayan Vietnam kerana melanggar syarat lesen dan disyaki menggunakan nombor pendaftaran tempatan.FOTO Ihsan APMM

Beliau berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan kerana melanggar syarat lesen dan disyaki menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

Menurutnya, turut ditahan 19 awak-awak termasuk tekong berusia antara 19 hingga 39 tahun kerana tidak memiliki dokumen sah.

Katanya, dua bot terbabit dibawa ke jeti APMM Terengganu untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memalsukan dokumen bot dan melanggar syarat lesen serta melakukan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Semua nelayan terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan denda bagi tekong dikenakan sebanyak RM1 juta manakala awak-awak RM100,000 setiap seorang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 8:03 PM