Dr Wan Azizah beramah mesra bersama warga emas, Ramlah Silong, 79, ketika melawat Kampung Stesen. FOTO Adzlan Sidek
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my


TEMPOH kempen yang bertembung dengan persidangan Dewan Rakyat menyebabkan tidak ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) hadir berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, menteri dan ahli parlimen juga terikat dengan tugas pentadbiran masing-masing sehingga menghadkan masa untuk berkempen.

Menurutnya, bagaimanapun pemimpin PH tetap turun berkempen jika ada kelapangan dalam jadual mereka.

“Mereka (menteri dan ahli parlimen) ada sesi Parlimen dan kerja pentadbiran yang perlu diselesaikan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan mesra di Kampung Stesen, Rantau hari ini.

Mengenai persiapan menghadapi hari pengundian Sabtu ini, Dr Wan Azizah berkata, beliau berpuas hati dengan gerak kerja jentera PH sepanjang tempoh kempen.

Katanya, jentera PH juga berjaya menyelesaikan masalah yang timbul sepanjang tempoh kempen yang berakhir esok.

Beliau juga menjangkakan persaingan sengit dalam PRK DUN Rantau dengan peluang untuk merampas kerusi masih 50-50.

Dr Wan Azizah bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut berhubung perkara itu.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 8:08 PM