AMEGO menunjukkan paip utama yang ditutup pihak JANS. FOTO/ Norasikin Daineh
Norasikin Daineh


BIL air tertunggak mencecah sehingga RM700,000 menyebabkan lebih 1,000 penghuni Kuarters Institut Perguruan Sabah (KIPS), Bukit Padang, Kota Kinabalu, terputus bekalan air sejak 12 hari lalu.

Ia susulan tindakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang didakwa tidak bertolak ansur dengan masalah yang dihadapi penghuni sehingga bertindak memutuskan bekalan air di kawasan itu.

Penghulu KIPS, Herbert Justine mendakwa, tunggakan itu bermula sejak April 2017 selepas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Kinabalu mendapat teguran daripada audit kerana membuat pembayaran pukal untuk bil air di KIPS.

“Sejak itu pembayaran pukal dihentikan dan penghuni tidak tahu bil air tidak dibayar. Sehingga September tahun lalu jumlah air sangat tinggi melebihi RM500,000.

“Sehingga kini, ia sudah menjangkau lebih RM700,000 dan penghuni terpaksa membayar. Namun ia tidak mencukupi sebelum bekalan air paip utama dipotong baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di KIPS, semalam.

Herbert berkata, disebabkan masalah itu, semua penghuni di KIPS kini mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air.

Beliau mendakwa, masalah itu juga dipercayai berpunca daripada kebocoran atau kerosakan pada paip di kawasan berkenaaan.

“Mungkin ada ketirisan di unit rumah yang rosak tidak diselenggara. Perkara ini pernah dikemukakan kepada JANS namun menurut mereka, kerja selenggaraan dikendalikan jabatan lain.


HERBERT, penghulu KIPS (gambar kecil) manakala Rusimah sekeluarga terpaksa membeli air minuman untuk memasak. FOTO/ Norasikin Daineh

Penghuni, Amego Serasa Tosel, 54, berkata, perkara itu sudah dibincangkan di peringkat penghuni perumahan terbabit dan dibawa ke pengetahuan pihak kementerian berkaitan.

“Sejak masalah ini diketahui, kami bergotong-royong mengumpul wang untuk membayar bil air berkenaan namun ia tidak mencukupi kerana kiraan meter yang sangat tinggi menyebabkan tiada lagi alasan daripada JANS membuat penangguhan (potong bekalan air) pada 1 April lalu.

“Kami sudah berusaha berbincang dengan JANS namun aduan kami tidak diendahkan.

“Kami juga memaklumkan perkara ini kepada Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob dan berharap ia dapat diselesaikan segera,” katanya.

Sementara itu, penghuni, Rusimah Rangkata, 40, berkata, masalah air melanda kawasan perumahan mereka menyebabkan rutin hariannya juga terjejas.

“Sejak bekalan air dipotong, kerja memasak dan mencuci semakin sukar. Air untuk mandi dan kegunaan di tandas terpaksa diambil dari kawasan berhampiran termasuk dari rumah saudara-mara, masjid atau stesen minyak berdekatan.

“Manakala untuk minum dan memasak terpaksa membeli air minuman untuk kegunaan kami enam beranak.

“Malah ada penghuni yang tinggal di tingkat atas terpaksa mengangkat air menggunakan gelen sehingga ke tingkat lima sedangkan ada sebahagian mereka sudah berusia,” katanya.

KIPS mempunyai 17 blok yang didiami kira-kira 200 keluarga dan difahamkan, kuarters berkenaan turut mempunyai meter individu tetapi tidak berfungsi. Ini disebabkan perkiraan bacaan penggunaan air hanya dibuat melalui meter utama dan dikira secara pukal setiap bulan.

Sehubungan itu, penduduk di KIPS berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan kebajikan warga pendidik terbela.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 12:12 PM