Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menafikan tuduhan pihaknya berat sebelah dalam menjalankan siasatan dan penguatkuasaan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, sebagai badan bebas menguruskan pilihan raya, SPR bertindak berdasarkan lunas undang-undang yang ditetapkan.

Menurutnya, tiada istilah SPR hanya menjalankan penguatkuasaan terhadap parti tertentu kerana sebarang tindakan diambil sekiranya kesalahan dilakukan parti bertanding.

“Pihak Penguatkuasa Pilihan Raya (PPKPR) menjalankan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang.

“SPR adalah institusi yang adil dan tidak masuk campur dengan tugas agensi lain. Saya harap tuduhan ini tidak dilemparkan kepada SPR,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat penjumlahan undi di SJKC Bandar Sri Sendayan, hari ini.

Baru-baru ini, terdapat dakwaan mengatakan SPR hanya menjalankan penguatkuasaan terhadap parti tertentu sehingga menimbulkan rasa kurang senang calon bertanding.

Dalam perkembangan lain, Azhar juga mengesahkan pihaknya tidak menerima laporan ceramah yang berbaur kebencian.

“SPR tidak terima laporan kempen berbaur kebencian dan ini perkembangan yang baik berbanding sebelum ini.

“Saya juga berharap tiada sebarang provokasi parti bertanding terutama peraih undi kerana ia hanya menimbulkan suasana tegang pada hari pengundian,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 1:29 PM
    AZHAR Azizan nafikan tuduhan SPR berat sebelah. FOTO Iqmal Haqim Rosman