JENTERA Bomba yang terlibat didalam inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, di Balai Bomba dan Penyelamat, Subang Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syah Rul Aswari Abdullah

PROSIDING Inkues Kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner, Shah Alam, hari ini, ditangguhkan berikutan saksi ke-29 tidak hadir.

Koroner Rofiah Mohamad kemudian menetapkan 16 April depan untuk prosiding bersambung selepas Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin memohon supaya tarikh baharu diberikan bagi membolehkan sapina dikeluarkan.

Ia berikutan, saksi ke-29 iaitu bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Prof Dr Shahrom Abd Wahid hanya disapina untuk tiga hari, bermula Selasa lalu.

“Saksi ini, (Dr Shahrom) masih diperlukan dalam pemeriksaan lanjut oleh pihak kami,” katanya.

Sementara itu, Faten Hadni ketika ditemui selepas prosiding berkata, selain Dr Shahrom, pihaknya akan memanggil semula dua saksi pakar iaitu Ketua Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Mohd Shah Mahmood; dan Pakar Perubatan Forensik HKL, Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Semalam, pihak berkepentingan dalam inkues sekali lagi melawat van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terbabit dalam insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada 27 November tahun lalu.

Difahamkan, lawatan itu bagi membuat penelitian terhadap van terbabit yang masih ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.

Pihak berkepentingan itu termasuk pegawai pengendali inkues dan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Selain itu, ia disertai tiga saksi pakar yang memberi keterangan dalam inkues berkenaan.

Mereka meluangkan masa lebih tiga jam meneliti van berkenaan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS BBP Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 2:16 PM