ROSYAM Nor (kiri) menandatangani plak sebagai simbolik majlis perasmian program Sembang Santai Usahawan di Taman Sena Indah. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Gambar Dziyaul Afnan Abdul Rahman

ST Rosyam Mart Mini bakal diperkenalkan di seluruh negara khususnya di penempatan luar bandar dan kawasan berpendapatan rendah (B40) bermula tahun depan dalam usaha membantu menjana pendapatan usahawan B40.

Produser dan pemilik bersama Pasaraya ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Nor berkata, pelan dan kertas kerja projek pembangunan pasar raya ekonomi keduanya itu sudah dirangka sepenuhnya.

“Kini pelan itu di peringkat perbincangan antara syarikat dengan pihak bank. Ia kini di fasa penetapan pelan bantuan kewangan kepada usahawan.

“Setakat ini jumlah modal yang diperlukan oleh usahawan untuk menyertai program ST Rosyam Mart Mini akan dibantu oleh institusi kewangan terpilih.

“Bantuan atau pinjaman modal bagi menyertai program ini tidak besar kerana objektifnya adalah untuk membantu usahawan luar bandar menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui dalam Program Sembang Santai Usahawan bersama Rosyam Nor di Taman Sena Indah, hari ini.

Rosyam berkata, keluasan premis ST Rosyam Mart Mini yang bakal dilancarkannya itu bersaiz lebih kecil berbanding Pasaraya ST Rosyam Mart sedia ada di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

“Keluasannya paling besar pun dalam dua pintu kedai sahaja, sesuai dengan modalnya yang sederhana.

“Jadi usahawan B40 yang ingin menyertai program ini jangan risau kerana modal dan barangan sudah tersedia, cuma mereka tolong jual sahaja,” katanya.

Sementara itu, Rosyam berkata, dua Pasaraya ST Rosyam Mart yang baru bakal dibuka di Shah Alam dan Bangi, Selangor pada hujung tahun ini.

Terdahulu, Rosyam turut meluangkan masa berdialog bersama usahawan kecil di negeri ini dan berkongsi idea dalam membangunkan ekonomi usahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 2:47 PM