KEMERIAHAN sekitar program Jom Kubang Ikan Darat. FOTO Zaid Salim


DALAM tempoh kurang tiga jam, hampir 400 kilogram ikan seperti puyu, haruan, keli, sepat dan belut ditangkap peserta program Jom Kubang Ikan Darat di Kampung Teluk Paku, Kuala Terengganu, hari ini.

Selain penduduk kampung, program bermula 8 hingga 11.30 pagi anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Paku bersama Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman (Karyawan Kreatif) itu turut disertai seramai 36 penuntut Kor Asas Kewartawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Penyelaras program, Tuan Azman Shah Tuan Alias berkata, Jom Kubang Ikan Darat pertama kali dianjurkan pada 2016.

Katanya, pihaknya memulakan kerja-kerja membina tembok dan mengepam air dari alur parit sejak 12 tengah malam tadi bagi memastikan program berjalan lancar.

“Sambutan penduduk kampung sangat memberangsangkan, malah mereka mula membanjiri kawasan ini sejak 7 pagi.

“Gelagat peserta pelbagai lapisan usia berkubang dalam selut menyebabkan suasana menjadi riuh sebaik saja program bermula.

“Tentunya kanak-kanak paling seronok kerana dapat berkubang beramai-ramai menangkap ikan air tawar,” katanya.

Tambahnya, peserta paling muda adalah kanak-kanak lelaki berusia dua tahun manakala peserta paling tua adalah lelaki berusia 80 tahun.

Pihaknya turut menyediakan beberapa hadiah misteri iaitu hamper kepada peserta yang berjaya menangkap hidupan istimewa iaitu belut dan kura-kura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 6:39 PM