BERNAMA

PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula pembinaannya akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer (km), selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer, kata Tun Daim Zainuddin.

Daim yang juga Wakil Khas Perdana Menteri berkata, jarak landasan baharu bakal dibina itu meliputi sejauh 648km berbanding rancangan awal sejauh 688km.

Bercakap kepada media Malaysia di Kedutaan Malaysia di Beijing, hari ini, beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata, ciri lain seperti landasan berkembar bagaimanapun masih dikekalkan seperti perjanjian asal.

“Beberapa stesen akan turut digugurkan pembinaannya seperti Gombak manakala jajaran baharu yang diperkenalkan adalah di Jelebu, Negeri Sembilan.

“Berikutan itu, jajaran baharu sekarang ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang,” katanya.

Cadangan asal projek ECRL itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

Projek ECRL itu dimulakan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lalu oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos tinggi.

Terdahulu, Malaysia-China menandatangani perjanjian tambahan (SA) ECRL di Beijing pada 11 pagi waktu tempatan, membabitkan wakil Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Berikutan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL itu dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Mengulas lanjut mengenai rundingan perjanjian yang diusahakan sejak Julai tahun lalu itu, Daim berkata, projek pembinaan ECRL itu akan turut dimulakan semula secepat mungkin.

Ditanya mengenai pengurangan faedah pinjaman terbabit, beliau berkata, perkara itu akan diperincikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu sidang media, Isnin ini.

“Perkara itu akan diperincikan oleh Perdana Menteri. Tetapi secara amnya, jumlah itu akan berkurangan seiring pengurangan jumlah pinjaman baharu,” katanya.

Selain itu, Daim yakin pemeteraian perjanjian tambahan baharu ini akan mengeratkan lagi hubungan Malaysia-China.

“Kita percaya ini satu kepercayaan baharu kepada pelabur China untuk terus melabur di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 10:41 PM
DAIM (depan kanan) bertukar dokumen perjanjian tambahan (SA) dengan Naib Pengerusi National Development and Reform Commission (NDRC), China, Dr Ning Jizhe mengenai ECRL di Beijing, hari ini. FOTO Bernama