Iskandar Shah Mohamed


SEBUAH kilang pemprosesan silikon di sekitar Pulau Indah, Pelabuhan Klang, musnah terbakar, dalam kejadian 8.50 malam ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Bomba Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada pihak pengurusan premis itu.

“Sepasukan 55 pegawai dan anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Andalas dan Kota Raja dikerah memadamkan kebakaran itu.

“Pemeriksaan mendapati kilang itu marak terbakar namun api berjaya dikawal pada 10 malam,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya setakat ini dimaklumkan tiada mangsa terperangkap dalam kejadian itu.

Menurutnya, operasi pemadaman secara menyeluruh sedang dijalankan terutama membabitkan longkang di kawasan kilang berkenaan.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 11:54 PM
API marak dalam kebakaran kilang pemprosesan silikon di sekitar Pulau Indah, Pelabuhan Klang, malam ini. FOTO ihsan pembaca.